Akulah cahaya bagi dunia

Akulah cahaya bagi dunia

Yesus berkata lagi kepada orang Farisi, “Akulah cahaya bagi dunia. Orang yang mengikut Aku tidak akan berjalan dalam kegelapan, tetapi beroleh cahaya yang memberikan hidup.”


YOHANES 8:12

Orang yang berjalan dalam kegelapan telah melihat cahaya yang sangat terang. Mereka tinggal dalam bayangan segelap maut, tetapi kini mereka disinari cahaya yang terang.


YESAYA 9:1

TUHAN adalah cahayaku dan penyelamatku; aku tidak akan takut kepada sesiapa pun. TUHAN melindungi aku daripada segala bahaya; aku tidak akan gentar.


MAZMUR 27:1

Allah yang berfirman, “Daripada kegelapan, cahaya akan bersinar.” Allah itu juga yang menyebabkan cahaya-Nya bersinar di dalam hati kami, sehingga kita dapat memahami kemuliaan Allah yang bersinar pada wajah Kristus.


2 KORINTUS 4:6

Tetapi jika Kristus hidup dalam diri kamu, Roh Allah mengurniakan hidup kepada kamu, walaupun badan kamu akan mati kerana dosa. Hal itu demikian kerana kamu sudah berbaik semula dengan Allah. Jika Roh Allah yang membangkitkan Kristus daripada kematian, hidup dalam diri kamu, Dia yang membangkitkan Kristus daripada kematian itu, juga akan menghidupkan badan kamu yang fana. Dia melakukannya dengan Roh-Nya yang hidup dalam diri kamu.


ROMA 8:10-11

Dahulu kamu hidup dalam kegelapan, tetapi sekarang kamu telah menjadi umat Tuhan, maka kamu hidup dalam cahaya. Itulah sebabnya kamu mesti hidup seperti orang yang hidup dalam cahaya


EFESUS 5:8

Tetapi jika kita hidup dalam cahaya, sebagaimana Allah ada dalam cahaya, maka kita hidup rukun dan darah Yesus, Anak-Nya, membersihkan kita daripada segala dosa. Jika kita berkata bahawa kita tidak berdosa, kita menipu diri sendiri, dan Allah tidak ada di dalam hati. Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan melakukan apa yang adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan membersihkan kita daripada segala perbuatan yang salah.


1 YOHANES 1:7-9

Kamu bagaikan cahaya bagi dunia. Kota yang terletak di atas bukit tidak dapat disembunyikan. Tidak seorang pun memasang pelita lalu menaruhnya di bawah pasu, tetapi dia akan meletakkannya di atas kaki pelita supaya memberikan cahaya kepada setiap orang di dalam rumah. Hendaklah cahaya kamu juga bersinar di hadapan orang, supaya mereka melihat perbuatan kamu yang baik, lalu memuji Bapa kamu yang di syurga.”


MATIUS 5:14-16

Cahaya ini bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan tidak dapat memadamkannya.


YOHANES 1:5